Ekuiti dan Pinjaman & Bon Sumbang Peningkatan Terbesar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini mengumumkan pendapatan pelaburan sebanyak RM5.93 bilion untuk suku tahun kedua 2010 (S2 2010) dalam suasana ekonomi Malaysia yang tumbuh dengan kukuh pada setengah tahun pertama tahun ini. Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini mengenai prestasi S2 2010 yang belum diaudit, KWSP melaporkan angka tersebut menunjukkan peningkatan 23.47 peratus daripada RM4.80 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama 2009 (S2 2009). Mengulas mengenai prestasi ini, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tan Sri Azlan Zainol berkata, “Peningkatan prestasi ini berikutan pasaran ekuiti tempatan dan global yang bertambah baik serta disokong oleh kadar faedah yang lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lepas.” Ekuiti merupakan penyumbang utama kepada pendapatan pelaburan S2 2010 dengan pulangan sebanyak RM2.72 bilion atau 56.55 peratus peningkatan berbanding RM1.74 bilion dicatatkan pada tempoh yang sama 2009. Pinjaman dan bon penyumbang kedua terbesar kepada pendapatan pelaburan KWSP dengan pulangan sebanyak RM1.90 bilion iaitu meningkat 4.72 peratus daripada RM1.81 bilion yang dicatatkan pada suku tahun sama 2009. Prestasi positif ini dicapai dengan tambahan pelaburan baru dan juga peningkatan kadar faedah dalam tempoh itu. Sementara itu, pelaburan dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia menyumbang pendapatan pelaburan sebanyak RM1.10 bilion pada S2 2010 menurun 1.02 peratus berbanding RM1.11 bilion yang dicatatkan pada suku tahun sama 2009. Bagaimanapun, pendapatan daripada Instrumen Pasaran Wang mencatatkan peningkatan paling ketara sebanyak 94.23 peratus dan menyumbang RM183.10 juta berbanding RM94.27 juta pada S2 2009. Ini disebabkan pegangan aset lebih tinggi dan kenaikan kadar faedah. Pendapatan KWSP daripada Hartanah sebanyak RM22.76 juta, meningkat 9.37 peratus berbanding tempoh sama pada 2009. Setakat 30 Jun 2010 jumlah peruntukan pelaburan KWSP adalah seperti berikut: | Jenis Pelaburan | RM Bilion | Peruntukan Pelaburan (%) | | Sekuriti Kerajaan Malaysia | 94.82 | 23.32 | | Pinjaman dan Bon | 151.57 | 37.28 | | Ekuiti | 130.94 | 32.21 | | Instrumen Pasaran Wang | 27.61 | 6.79 | | Hartanah | 1.61 | 0.40 | | Jumlah | 406.55 | 100 |
Melangkah ke hadapan, Tan Sri Azlan berkata, “Walaupun KWSP telah menunjukkan prestasi yang baik pada setengah tahun pertama, KWSP perlu berhati-hati terhadap perkembangan dan suasana ekonomi di setengah tahun kedua. Bagaimanapun, KWSP akan terus meneroka peluang untuk mengoptimumkan pulangan dan memberikan nilai tambah kepada simpanan persaraan ahli.” Mengenai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana pencen terulung di Malaysia yang menyediakan jaminan asas kewangan bagi persaraan. KWSP sentiasa komited dalam menjamin dan meningkatkan simpanan ahlinya melalui amalan terbaik pelaburan dan tadbir urus korporat. Langkah berhemah sentiasa menjadi panduan dalam setiap keputusan pelaburannya. Sebagai sebuah organisasi yang berfokuskan pelanggan, KWSP memberikan perkhidmatan yang cekap dan berkesan untuk keselesaan ahli dan majikan berdaftar. KWSP akan terus memainkan peranannya sebagai pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan kedudukannya sebagai institusi simpanan terkemuka di Malaysia.
Tarikh: 7 September 2010 |